whatever we do, whatever we care...

reaching for something that we want is not easy .. not sure we can reach the property ... a dream is not easy for us to achieve ... maybe one day we had to let it go ..... "safuan assauriey"

Nikah Misyar

Tuesday, June 25, 2013

Dalam kehidupan serba moden sekarang, cara hidup manusia makin berubah. Masing-masing berusaha untuk membina empayar sendiri tidak kira lelaki mahupun wanita. Pada zaman sekarang wanita juga mampu bersaing bersama kaum lelaki demi mencapai matlamat hidup yang menjadi pegangan. Atas faktor ini juga terjadinya lebihan kaum wanita yang tidak berkahwin memandangkan status dan taraf yang begitu tinggi.
Faktor lebihan kaum wanita
1- status jawatan yang tinggi
2- berpendidikan tinggi
3- kos perkahwinan yang begitu tinggi
4- kaum wanita lebih banyak nisbahnya dari lelaki
Berdasarkan faktor-faktor berikut Islam telah mensyariatkan Nikah Misyar iaitu sistem perkahwinan yang mempunyai perjanjian antara suami dan isteri. Dengan adanya perjanjian, si suami terlepas dari dari tanggungjawap nafkah zahir dan si isteri tidak akan menuntut sebarang hak keatas suami. Perkahwinan ini amat popular di negara-negara arab yang mana kaum wanita mempunyai kekuatan dari segi ekonomi dan sibuk dalam menguruskan harta, jawatan dan hal kehidupan.
Bagi menentukan adakah sesuatu perkahwinan itu boleh diiktibar (dianggap) sah di sisi Syara’ perlulah ianya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syara’. Antara syarat-syarat untuk memastikan bahawa
perkahwinan itu sah ialah:
1. Wujudnya keredhaan yang tulus daripada kedua-dua pihak suami dan isteri.
2. Lafaz yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu tidak dibataskan oleh waktu-waktu tertentu.
3. Adanya wali bagi pihak isteri.
4. Perkahwinan itu disaksikan oleh saksi yang melengkapi syarat-syarat persaksian.
5. Perkahwinan tersebut diwarwarkan kepada umum.
Jika lengkap syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara’ ini maka perkahwinan Misyar ini adalah
perkahwinan yang sah selagimana perkahwinan ini tidak bertempoh walau apa nama perkahwinan ini sekalipun.
Namun apabila si isteri rela untuk menggugurkan hak-hak yang berhak untuk diperolehi oleh si isteri tersebut
yang telah diberikan oleh syarak seperti nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk suami
bermalam di rumah isteri yang bermadu, maka pengguguran hak tersebut adalah harus di sisi syara’
sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidah Sau’dah R.A. Beliau telah menghadiahkan hari yang sepatutnya
Rasulullah saw bermalam di rumah beliau kepada Saiyyidah Aisyah R.A

Pendapat daripada Fadhilah Al-Syeikh Dr. Nasr Farid Wasil (Bekas Mufti Mesir)
Perkahwinan di dalam Islam adalah di antara hubungan kemanusiaan dan sosial yang paling suci yang dijaga oleh Islam dan Islam turut menyuruh untuk diambil segala jalan. yang boleh memudahkan perkahwinan di kalangan manusia, lelaki dan wanita malahan syarak turut meminta untuk menjaga perkahwinan dengan mewujudkan satu perjanjian yang kukuh yang menjelaskan hak-hak dan kewajipan rumahtangga dan kekeluargaan. yang diberkati dengan kalimah Allah. Perkahwinan
adalah dituntut berdasarkan nas Al-Quran melalui firman Allah SWT didalam surah al-Nur ayat 32:
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
Allah swt juga berfirman didalam surah al-Rum ayat 21:
Dan di antara membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai
kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan- keterangan (yang menimbulkan
kesedaran) bagi tanda-tanda yang orang-orang yang berfikir.

Rasulullah saw juga bersabda dengan kalamnya yang mulia:
“Perkahwinan itu adalah sunnahku. Barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku maka bukanlah mereka
daripada golonganku.”
Melalui perkahwinan, berlakulah perlaksanaan Syariat Islam yang dikehendaki oleh Allah bagi kepentingan
manusia menelusuri firman Allah taala yang bermaksud:
"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi" (Al Baqarah ayat 30)

Melalui perlaksanaan Syariat Islam maka ibadah akan sempurna yang kesempurnaan ibadah itu adalah dituntut dan diperintahkan oleh Allah memalui firmannya yang bermaksud:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya AllahDialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.(Al Zhariat ayat 56 hingga 58)

Perkahwinan yang memenuhi tujuan yang baik dan mulia ini adalah perkahwinan yang sah di sisi syara’
yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat perkahwinan yang digariskan oleh syarak yang diperintahkan oleh Allah dan rasulNya di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah di samping turut disepakati oleh ulama
Islam di setiap zaman. Ini kerana itu,rukun-rukun nikah dan syarat-syaratnyalah yang akan membezakan antara akad nikah yang menepati syarak dan akad nikah yang diharamkan oleh Islam. Rukun serta syarat nikah ini yang akan menjadi pembeza yang berterusan sehingga hari kiamat.
Sehubungan dengan itu, pihak Dar al- Ifta’ (Majlis Fatwa Mesir) berpandangan bahawa nikah misyar jika ia memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukun ini iaitu keredaan yang sempurna daripada
pihak suami dan isteri, lafaz akad nikah yang mengandungi maksud perkahwinan yang berterusan, wali daripada pihak pengantin wanita, saksi-saksi yang memenuhi kriteria yang penuh sebagai seorang saksi yang sempurna dan peisytiharan perkahwinan tersebut dengan cara yang pelbagai maka perkahwinan tersebut adalah perkahwianan yang sah di sisi syara’ dengan kita tidak perlu memandang kepada apa sahaja jenis istilah yang diberikan terhadap nama perkahwinan itu selama mana perkahwinan itu tidak diterhadkan
kepada tempoh tertentu atas sebab- sebab berikut:

1. Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan risalah Muhammad SAW ini sebagai penutup segala risalah dan Allah swt telah menurunkan al-Quran sebagai penunjuk kepada kesejahteraan seluruh umat sehingga waktu di mana Allah akan mewarisi bumi ini dan insan
yang berada di dalamnya (hari kiamat). Oleh itu tidak ada satupun perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia melainkan manusia akan mendapati penyelesaiannya di dalam kitab kepada risalah Nabi Muhammad SAW (Al- Quran) Allah berfirman: "Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini" (Al An`am ayat 38)

Istilah Misyar terdapat hukum padanya jika kita meniliti secara terperinci di dalam sejarah-sejarah para ulama terdahulu dan sekarang. Sesiapa yang meneliti sejarah pengembaraan umat Islam terdahulu, dia akan mendapati bahawa terdapat di kalangan generasi terdahulu insan-insan yang mengembara keluar daripada tanah air demi menuntut ilmu atau berniaga. Jika mereka singgah di sesuatu negara di tengah perjalanan maka mereka akan menetap di situ dalam beberapa masa tertentu, lama atau sekejap seterusnya berkahwin dengan penduduk negeri tersebut dan mendapat zuriat kemudian menyambung kembali perjalanannya dengan meninggalkan isterinya sama ada dengan jalan talak atau sebagainya dalam keadaan isterinya rela dengan perkara tersebut.

2. Di sana hanya ada satu jalan sahaja tanpa ada jalan yang kedua yang membenarkan kepuasan seks dapat
disalurkan. Jalan ini ialah perkahwinan yang menepati syarak. Oleh itu selain daripada perkahwinan yang sah di sisi syarak, maka ia adalah dilarang oleh syariat-syariat Allah dalam semua agama malahan syariat-syariat Allah Taala menganggap jalan selain perkahwinan adalah jalan-jalan yang mungkar. Al-Quran telah menerangkan perkara ini di dalam firman Allah Taala :
"Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka
merekalah orang-orang yang melampaui batas" (Al-Mukminun ayat 5-7)

Syariat Islamiah telahpun menerangkan bahawa perkahwinan yang menepati Islam sahaja yang dapat mengumpulkan antara lelaki dan wanita dengan kalimat Allah di atas akad yang berterusan dan perjanjian yang kukuh.
Oleh itu setiap kehendak yang jauh daripada perkahwinan yang menepati syarak adalah satu penderhakaan terhadap Allah dan satu pelampauan batas terhadap garis panduan yang
telah ditetapkan oleh Allah.
3. Seseorang isteri itu mempunyai hak di sisi syariat untuk menggugurkan hak-hak mereka yang sepatutnya
mereka perolehi seperti memohon nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk bersama
dengan suami bagi isteri yang bermadu.
Perkara ini secara jelas telah ditunjukkan oleh isteri Rasulullah saw iaitu Sayyidah Saudah yang secara rela telah memberikan hari yang sepatutnya Rasulullah saw bersama dengannya kepada Saiyyidah Aisyah r.a.
Seandainya kerelaan ini tidak menepati syarak maka pasti Rasulullah akan tidak bersetuju dengan tindakan Sayyidah Saudah.
Oleh itu setiap syarat yang dibuat yang
tidak menafikan tujuan asas dan
maksud utama bagi perkahwinan, maka
syarat tersebut adalah sah dan tidak
akan sama sekali mencacatkan akad
nikah atau membatalkannya.
Dar al-Ifta’ (Majlis Fatwa Mesir)
tidaklah bermaksud melalui fatwa ini
untuk menyuruh masyarakat memilih
jalan perkahwinan sebegini. Namun
begitu, pihak Dar al-Ifta’ hanya
bertanggungjawab untuk bersungguh-
sungguh menerangkan hukum-hukum
syarak yang betul dengan bersumberkan
sumber-sumber hukum daripada Al-
Quran dan sunnah baginda Rasulullah
saw serta pendapat para ulama
muktabar daripada mazhab terdahulu.
Pendapat daripada Fadilah al-
Syeikh Dr. Yusuf al-
Qaradhawi :
Perkahwinan Misyar adalah
perkahwinan yang seperti kita selalu
perhatikan. Cuma yang berbeza disini
ialah istilah misyar yang digunakan.
Sesuatu perkara itu bukanlah diambil
hukumnya daripada nama dan
ibaratnya tetapi dilihat kepada apakah
yang terkandung didalam perkara
tersebut. Terkadang manusia ada
meletakkan nama yang lain daripada
nama tersebut. Kita mengetahui bahawa
terdapat dikalangan para suami yang
berkahwin dengan isteri yang kedua
tanpa memberitahu kepada isterinya
yang pertama berhubung dengan
perkahwinan tersebut. Perkahwinan
seperti ini seolah-olah menyerupai
nikah urfi walaupun bukanlah secara
keseluruhannya. Terdapat juga
sebahagian daripada para fuqaha’ yang
berpendapat bahawa harus bagi si isteri
untuk tidak menuntut hak kepada suami
mereka seperti hak bermalam dirumah
mereka.
Saya bukanlah dikalangan orang yang
mencanangkan perkahwinan sebegini,
dan saya juga bukanlah dikalangan
orang yang menulis risalah untuk
menyokong kearah perlaksanaan
perkahwinan sebegini. Namun bukanlah
saya mampu untuk mengharamkan
sesuatu perkara yang telah dihalalkan
oleh Allah swt. Bilamana ditanya kepada
saya, apakah hukum perkahwinan
sebegini? Saya pasti akan berkata saya
tidaklah mengetahui akan perkahwinan
sebegini. Tetapi cubalah kamu berikan
gambaran secara jelas kepada saya
berkenaan perkahwinan tersebut. Maka
kata lelaki tersebut, Perkahwinan
tersebut terdapat akad yang sah,
terdapat saksi yang memenuhi syarat,
terdapat juga didalam perkahwinan ini
walimatulurus, dan pendek kata
kesemua hukum yang ditetapkan syara’
memenuhi pekahwinan ini.
Bagaimana mungkin bagi seorang fakih
yang mendengarkan permasalahan
sebegini akan mengatakan perkahwinan
sebegini adalah haram? Walaupun ianya
mengundang ketidakpuasan hati
dikalangan masyarakat . Terdapat
perkara yang tidak disepakati oleh
masyarakat tetapi ianya adalah harus
bagi syara’. Contohnya ialah seperti
perkahwinan antara seorang hamba
dengan tuannya Perkara ini tentulah
tidak mendapat persetujuan daripada
masyarakat tetapi jika ianya sempurna
syarat-syaratnya dan rukunnya maka
tentulah saya akan mengatakan bahawa
perkara adalah harus bagi syara’ .
Contoh lain yang dapat saya berikan
disini ialah perkahwinan seorang
perempuan dengan seorang lelaki yang
sudah tua seperti datuknya (hanya
kerana lelaki itu kaya) tentulah akan
mendapat tentangan daripada
masyarakat. Adakah perkahwinan
antara perempuan muda tersebut
dengan lelaki tua itu haram? Jawabnya
Tidak! Kita tidak pernah mengatakan
perkara itu haram. Bahkan saya
mengatakan perkara ini dibenci oleh
masyarakat.Tetapi untuk mengatakan
sesuatu perkara itu haram atau halal
bukanlah satu perbuatan yang mudah.
Mahu tidak mahu bagi si alim perlulah
senantiasa takutkan Allah dan
senantiasa berjaga-jaga didalam
mengistinbatkan (mensabitkan) sesuatu
hukum berkaitan dengan agamanya.
Kita tidak mengatakan bahawa
perkahwinan sebegini haram melainkan
jika terdapatnya dalil-dalil yang
menguatkan bahawa perkahwinan
sebegini adalah haram!!
Pendapat daripada Fadhilah al-
Syeikh Dr. Ali Jum’ah Al-Syafie
(Mufti Mesir Sekarang)
Syarat perkahwinan di dalam Islam
adalah perlunya ada ijab dan qabul
serta tidak bercanggah dengan larangan
syara’ pada suami, isteri, wali, dan
saksi. Apabila telah sempurna syarat-
syarat dengan akad di antara lelaki dan
wanita, maka sempurnalah pernikahan
tersebut. Sebaliknya apabila tidak cukup
syarat tersebut, maka pernikahan
tersebut terbatal.
Orang Islam diminta untuk menunaikan
syarat yang telah dipersetujuinya. Oleh
itu seorang wanita dibenarkan untuk
menggugurkan hak yang berhak
diperolehinya dalam masalah kewajipan
suami untuk bermalam dengan si isteri
kerana Sayyidah Saudah Binti Zam`ah
telah tidak mengambil hak bermalam
bersama Rasulullah SAW dan
memberikan hak tersebut kepada
‘Aisyah R.A. Wanita juga dibenarkan
untuk memulangkan maharnya atau
nafkah yang berhak diperolehinya
kerana Allah SWT berfirman di dalam
surah An-Nisa’ ayat 4 yang bermaksud :
"Kemudian jika mereka dengan suka
hatinya memberikan kepada kamu
sebahagian dari mas kahwinnya maka
makanlah (gunakanlah) pemberian
(yang halal) itu sebagai nikmat yang
lazat, lagi baik kesudahannya"

Pendapat Prof. Dr. Wahbah Az-
Zuhaily
(Universiti Damsyiq, Syria)
Perkahwinan Misyar adalah satu
perkahwinan dimana seorang wanita
tidak mengambil sebahagian daripada
hak-haknya. Perkahwinan ini walaupun
tidak menyampaikan hasrat dan
maksud perkahwinan, namun
perkahwinan ini harus tetapi makruh
dan tidak sepatutnya diamalkan
melainkan pada beberapa keadaan
tertentu.
Telah berkata Prof Dr Wahbah Az-
Zuhaily, pensyarah Syariah di Universiti
Damsyiq, Syria. “Perkahwinan
disyariatkan oleh Allah SWT untuk
merealisasikan beberapa tujuan”. Di
antaranya adalah :
1. Untuk menambah keturunan dan
memelihara kelangsungan zuriat.

2. Adalah untuk mendatangkan
kebahagiaan,

3. Memelihara diri daripada terjebak ke
kancah maksiat dan zina

4. Mewujudkan kerjasama dan
keserasian hidup antara lelaki dan
wanita untuk kehidupan
berumahtangga.

5. Perkahwinan juga adalah untuk
mewujudkan kebahagiaan, dan
ketenangan di antara suami dan isteri
selain bertujuan untuk mendidik anak-
anak dengan didikan yang sempurna.
Perkahwinan Misyar juga
merealisasikan sebahagian daripada
tujuan-tujuan perkahwinan walaupun
tidak kesemuanya. Isteri tidak
mengambil haknya di dalam nafkah,
tempat tinggal, sekiranya suami
mempunyai isteri lain. Tujuan yang jelas
daripada pernikahan ini adalah untuk
bersenang-senang (melunasi fitrah
batin isteri) samada si suami jelas
mengambil faedah daripada harta isteri
manakala si isteri dapat menikmati
kehidupan berumah-tangga. Pada
hemat saya, hukum perkahwinan misyar
ini adalah sah sekiranya cukup dan
sempurna rukun-rukun dan syarat-
syarat yang ditetapkan oleh syarak iaitu
kerelaan wali, saksi dan pemakluman
kepada umum. Sekiranya tidak cukup
salah satu daripada syarat-syarat ini
maka tidak sah di sisi para fuqahak.
Tetapi, sebagai jaminan kepada isteri
dan hak-haknya dalam jangka masa
yang panjang, hendaklah isteri tersebut
berwaspada dengan mendaftarkan
perkahwinan tersebut kepada
pendaftaran rasmi dengan pihak
berkuasa atau yang bertanggungjawab.
Hal ini kerana, sekiranya si suami
meninggal dunia, dituntut daripada si
isteri ‘iddah dan berhak terhadap
warisan harta pusaka suami. Si isteri
pula telah berubah fikiran dan menuntut
haknya di dalam nafkah atau bahagian
yang wajib daripada harta pusaka
suami. Selagimana pernikahan ini tidak
merealisasikan semua tujuan dan motif
perkahwinan, kemanusiaan dan
kemasyarakatan didalam keadaan yang
sempurna dan optimum, maka saya
memberikan peringatan dan tidak
menggalakkan pernikahan ini dan
menghukumkan ia sebagai makruh.
Sesungguhnya perkahwinan adalah
bersendikan kepercayaan yang padu.
Namun begitu, sekiranya sesuatu
pasangan masih tetap ingin mendirikan
rumah tangga mereka dengan
perkahwinan jenis ini, maka diharuskan
tetapi mereka berdua mesti
menanggung kesan dan akibat daripada
perkahwinan tersebut seperti salah
seorang daripada keduanya tidak adil
didalam menjaga hak-hak dan
melaksanakan kewajipan khususnya di
dalam hubungan suami isteri. Pada
keadaan begini, ianya menjadi haram
walaupun aqad perkahwinan tersebut
sah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

sahabat

sahabat